Tuesday, January 3, 2017

Kolam Maut - Niat Menyelamatkan Kawan Akhirnya Bertukar Tragedi

GOMBAK: Kegembiraan 34 penghuni sebuah rumah kebajikan dari Air Panas, Setapak meraikan tahun baharu dengan berkelah di Air Terjun Hutan Lipur Bukit Lagong, Jalan Bukit Idaman, Batu Caves di sini bertukar hiba apabila salah seorang daripada mereka lemas, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, K Nareshwaran, 15, dikatakan cuba menyelamatkan seorang budak lelaki yang juga rakannya yang tergelincir jatuh ke dalam kolam air di situ.


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, berkata selepas terlihat rakannya terjatuh, mangsa terus bergegas untuk membantu menyelamatkan rakannya itu namun dia sendiri tenggelam dan lemas.

Katanya, rakan mangsa yang terjatuh berjaya diselamatkan rakan-rakan lain namun mangsa tenggelam di dalam kolam yang dianggarkan sedalam kira-kira 4.5 meter itu.

"Sepasukan anggota bomba dengan dibantu orang awam kemudian berjaya menemui mangsa namun pasukan perubatan dari Hospital Selayang mengesahkan dia sudah meninggal dunia.

"Mangsa adalah seorang daripada 34 ahli rombongan dari rumah kebajikan itu yang terdiri daripada 23 kanak-kanak dan 11 dewasa. Mereka tiba di kawasan air terjun terbabit untuk berkelah kira-kira jam 2 petang," katanya dalam satu kenyataan, tadi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. Mangsa yang juga anak yatim baru menghuni rumah kebajikan itu pada 13 Disember lalu.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul, berkata bomba yang menerima laporan kejadian pada 2.57 petang menghantar tujuh anggota dan pegawai ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

"Selepas hampir 30 minit mencari, anggota kita dengan dibantu beberapa orang awam berjaya menemui mayat mangsa di dasar kolam air terjun itu," katanya.

0 comments:

Post a Comment